SABERKAS Daro Anjur Program Gunting Rambut Percuma

SELASA, 3 JANUARI 2023

DARO: SABERKAS Cawangan Daro telah menganjurkan Program Gunting Rambut Percuma untuk pelajar sekolah sempena pelajar kembali ke sekolah selepas berakhir cuti semester.

Program tersebut adalah aktiviti tahunan yang diadakan oleh pihak SABERKAS Cawangan Daro.

Pengerusi SABERKAS Cawangan Daro, Safiee Ahmad berkata program seperti ini juga mempunyai impak tersendiri dalam membantu ibu bapa atau penjaga mereka dari segi kos untuk mengunting rambut anak mereka.

“SABERKAS Cawangan Daro mempunyai sebuah Kedai Gunting Rambut iaitu Forty Three Barbershop yang mana satu platform para belia berkemahiran menggunting rambut untuk menjana pendapatan.

“Mereka inilah yang memberi khidmat mengunting rambut dalam program ini,” katanya ketika ditemui media dalam Program Gunting Rambut Percuma ‘Back To School’, di Medan Selera Daro pada Isnin.

Tambahnya, program seperti itu dapat memupuk semangat para belia untuk memberi khidmat kepada komuniti setempat.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Daro Mohd Faizal Jamiludin, Penghulu Yusuf Bakeri dan Ketua Kampung Masjid Hilir Mokhtar Hasim.-EDISI UKAS

add comment