Sabah & Sarawak Diberi Kuasa Laksana Sendiri Projek Bawah RM50 Juta

RABU, 4 JANUARI 2023

PUTRAJAYA: Kabinet Kerajaan Perpaduan bersetuju menyerahkan kuasa berkaitan pelaksanaan projek tempatan di bawah kos RM50 juta kepada Sarawak dan Sabah. 

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh Kementerian Kewangan di mana Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah dapat membuat sebarang keputusan tanpa perlu menghadapi terlalu banyak kekangan di peringkat persekutuan.

“Kabinet Kerajaan dengan persetujuan Kementerian Kewangan telah menetapkan bahawa mana-mana projek di bawah RM50 juta diserahkan hampir sepenuhnya kepada Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan dengan mematuhi beberapa peraturan kewangan.

“Tapi keputusan itu boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa dilengahkan kerana terpaksa tunduk kepada peraturan-peraturan lama,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Sementara itu, Dato’ Seri Anwar memaklumkan, beliau akan mempengerusikan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta mengadakan perjumpaan bersama Premier Sarawak dan juga Ketua Menteri Sabah selewatnya pada akhir bulan ini.

“Kemungkinan besar perjumpaan tersebut akan diadakan di Kuching,” ujarnya.

Manakala Perdana Menteri memberitahu, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof akan terus mempengerusikan jawatankuasa kerja berkaitan MA63 bagi memastikan perkara-perkara yang masih tertangguh dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Ini termasuk umpamanya pemberian peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan yang pada mulanya diberikan sekitar RM25 juta dan RM16 juta masing-masing kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya dikaji semula setiap lima tahun tetapi hal ini tidak berlaku.

“Oleh demikian, kita harus memastikan bahawa ada peningkatan jumlah yang munasabah untuk diberikan menerusi peruntukan ini,” katanya. -Edisi UKAS

add comment