KHAMIS, 5 JANUARI 2023
KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) bakal diperkuatkan tiga pemain import baharu untuk menghadapi kempen Liga Super 2023 yang dijadual bermula pada 24 Februari depan.
Mereka ialah dua pemain bek iaitu Mihailo Jovanovic (34 tahun) dari Serbia dan Celio Ferrera Dos Santos (36) dari Timor Leste manakala Sorijiddin Kuziev (27) dari Uzbekistan bermain di posisi tengah.
Ketiga-tiga pemain itu menandatangani kontrak hari ini yang turut disaksikan Pengerusi KCFC Fazzrudin Abdul Rahman di pejabat kelab itu.
Menurut Fazzrudin, beliau yakin ketiga-tiga pemain itu akan memperkuatkan lagi cabaran KCFC untuk mengharungi musim baharu nanti.
“Kita yakin dengan penambahan pemain-pemain baharu ini akan dapat mengukuhkan lagi pasukan Kuching City FC dalam menghadapi saingan Liga Super 2023,” katanya dalam sidang media selepas sesi menandatangani kontrak itu di pejabat KCFC pada Khamis.
Menurut Fazzrudin, dua lagi pemain import baharu akan tiba dalam beberapa hari lagi sambil mendedahkan salah seorang daripada pemain tersebut merupakan pemain pasukan kebangsaan sebuah negara dari Asia Tenggara.
Ini akan menjadikan seramai tujuh pemain import beraksi bersama KCFC musim ini selepas dua pemain musim lepas iaitu Abu Kamara (Liberia) dan Yuki Tanigawa (Jepun) masih mendapat kepercayaan pengendalinya, Irfan Bakti.
Dalam pada itu, Fazzrudin berkata KCFC enggan meletakkan sasaran awal namun bersedia memberikan cabaran kepada semua pasukan yang bertanding.
“Kita mahu memberi saingan kepada semua pasukan dan kita tidak mahu pasukan lain memandang Kuching City sebagai lubuk untuk mengutip mata. Itu objektif utama kita.
“Kita masih belum lagi menetapkan apa-apa sasaran, mungkin selepas beberapa siri latihan dan perlawanan pra musim kita dapat letakkan sasaran,” tambahnya.
Jelas beliau lagi, KCFC juga merancang untuk mengadakan jelajah di tiga lokasi sekitar Sarawak iaitu Betong, Sibu dan Mukah bagi memperkenalkan pasukan baharu itu kepada penyokong tempatan.
Katanya, tarikh masih belum diputuskan pengurusan namun kemungkinan diadakan pada penghujung Januari nanti.
Mengenai jelajah pra musim, beliau berkata lokasi dan bila ia diadakan akan ditetapkan selepas pemain pasukan itu sudah benar-benar bersedia terutama dari aspek keserasian. – EDISI UKAS