GEDONG: Prihatin dengan nasib malang yang menimpa mangsa kebakaran di Ladang Tiasa Mesra, Kepayang, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee telah menyantuni dan menyerahkan sumbangan kepada mereka pada Jumaat.
Seramai 10 keluarga mangsa kebakaran rumah pekerja di Ladang Tiasa Mesra, Kepayang, Gedong itu telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan bakul makanan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Rodiyah dan disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak (ADUN) Simunjan, Awla Dris.
“Saya ingin merakamkan perasaan dukacita apabila menerima berita sebelum perayaan Krismas di mana satu blok tempat tinggal 10 orang pekerja mengalami kebakaran 100 peratus.
“Namun, kita bersyukur kerana semuanya selamat walaupun banyak kerugian yang dialami oleh mangsa kebakaran.
“Kita juga berterima kasih kepada pihak ladang kerana bertindak serta merta dengan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa kebakaran dan menyedia kemudahan lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Kebakaran Rumah Pekerja di Blok H Ladang Tiasa Mesra.
Dalam masa sama Rodiyah juga berharap agar kejadian seumpamanya tidak berlaku lagi dan berharap pihak ladang mengambil langkah keselamatan yang lebih bagi mencegah berlakunya kebakaran.
Terdahulu Rodiyah dan Awla turut melihat sendiri tapak kebakaran di mana ia telah berlaku pada 22 Disember tahun lepas pada jam 5 petang ketika semua pekerja masih lagi berada di tempat kerja masing-masing dan pihak ladang akan membina semula rumah kediaman pekerja-pekerja yang terlibat dengan kebakaran.
Hadir sama ialah Pengarah Pembangunan Negeri Sarawak Jasni Jubli, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kesejahteraan Rakyat Hajiawati Tambi, Pegawai Daerah Gedong Abdul Khalid Manap dan Senior Estate Manager Velen Narayanasamy. -EDISI UKAS