Tzu Chi Miri Banyak Menyumbang Kepada Masyarakat Miri

8 JANUARI 2023

MIRI: Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation Malaysia Miri Liaison (Tzu Chi Miri) telah memberi banyak sumbangan kepada masyarakat Miri terutamanya bagi golongan yang memerlukan.

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, pertubuhan tersebut berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan dengan tujuan meringankan beban masyarakat tempatan yang terkesan akibat masalah yang dihadapi.

Jelasnya, sejak penularan wabak COVID-19 contohnya, Tzu Chi Miri telah mengadakan aktiviti kebajikan untuk membantu Hospital Miri.

“Selain memberi sumbangan kepada keluarga miskin, Tzu Chi Miri turut menghulurkan bantuan kepada sektor kesihatan di sini dengan meminjamkan 250 katil kepada Hospital Miri yang pada ketika itu telah menghadapi isu kekurangan katil untuk pesakit COVID-19,” katanya dalam program ‘Vegetarian Annual Banquet “Lotus in the Heart” cum Fundraising Miri Tzu Chi Jing Si Hall Construction’ di Eastwood Valley Golf and Country Club Miri pada Ahad.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri turut menggesa agar setiap persatuan, badan amal atau syarikat swasta memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit di bahagian Miri seperti kekurangan mesin atau makmal perubatan.

Dalam majlis sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut mengumumkan akan mengatur peruntukan sebanyak RM50,000 untuk Tabung Dana Pembinaan Dewan Jing Si, Miri.

Untuk rekod, Tzu Chi Miri telah bertapak di bahagian tersebut semenjak 25 tahun dahulu dan mempunyai pengalaman luas dalam aktiviti amal, penjagaan perubatan dan pendidikan serta perlindungan alam sekitar.

Pertubuhan tersebut kini sedang melaksanakan pembinaan Dewan Jing Si bagi mempromosikan ajaran Buddhisme selain berfungsi sebagai pusat untuk bantuan bencana, pendidikan awal kanak-kanak dan juga latihan sekurelawan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, Pegawai Petugas Tzu Chi Miri, Sim Kim Lian dan Pengarah Hospital Miri, Dr. Jack Wong Siew Yu. -Edisi UKAS

add comment