ISNIN, 9 JANUARI 2023
KAPIT: Bahagian Kapit tidak pernah terpinggir dari menerima bantuan daripada kerajaan walaupun pentadbirannya sentiasa bertukar.
Menurut Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, sejumlah RM7.1 bilion telah disalurkan oleh kerajaan untuk bahagian Kapit sahaja dalam tempoh lima tahun ini.
Akui belanjawan untuk Sarawak tidak mencukupi, namun kerajaan pusat katanya tetap menyalurkan peruntukan untuk negeri ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sumbangan Dato Sri Alexander di Hotel Meligai, Kapit pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat.
Menteri Kerja Raya itu turut berterima kasih juga di atas sokongan yang telah diberikan semasa Pilihan Raya Umum (PRU15) yang lepas di mana Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menang di Parlimen Kapit dengan mendapat majoriti yang tinggi.
Ujarnya, kemenangan tersebut menandakan sokongan padu rakyat di situ yang bukan hanya atas nama parti politik tapi sokongan terhadap polisi kerajaan.
Sebanyak 58 penerima cek terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, persatuan, pihak sekolah serta badan bukan kerajaan (NGO) menerima cek berkenaan yang berjumlah keseluruhan RM758,400.
Terdahulu pada Ahad, Dato Sri Alexander meluangkan masa menghadiri Majlis Santai Mesra Bersama beliau yang turut dihadiri Jefferson Jamit dan ADUN Pelagus Wilson Nyabong Ijang bertempat di Restoran Rahmat, Hotel Meligai Kapit.
Program anjuran Pejabat Daerah Kapit itu bertujuan merakamkan tahniah serta penghargaan kepada Dato Sri Alexander di atas lantikan beliau sebagai Menteri Kerja Raya yang baru.
Menurut Jefferson Jamit, beliau berharap semoga lantikan Dato Sri Alexander dapat membawa pembangunan yang lebih efesien terutama di kawasan Kapit.
Beliau turut berkongsi rasa bangga kerana Kapit telah melahirkan pemimpin yang berwibawa serta bertanggungjawab walaupun ia merupakan kawasan pedalaman di Malaysia yang masih memerlukan perhatian dalam aspek pembangunan. – EDISI UKAS