Projek Penempatan Baharu Di Buan Land District Bakal Beri Manfaat Kepada Golongan B40 & M40, Atasi Isu Pertambahan Penduduk & Bencana Banjir

SELASA, 10 JANUARI 2023

BINTULU: Satu projek penempatan baharu sedang dibangunkan di Lot 170, 287 dan 290 Buan Land District, sekitar 2.5 kilometer daripada Pekan Tatau dengan tujuan menampung pertambahan penduduk selain mengatasi masalah banjir yang kerap melanda pekan tersebut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek tersebut bakal memberi manfaat khasnya kepada golongan B40 dan juga M40 untuk memiliki rumah sendiri pada kos yang rendah.

Menurutnya, skim pembayaran khas diwujudkan untuk golongan tersebut di mana Kerajaan Sarawak akan menanggung kos infrastruktur termasuk kos utiliti bagi projek berkenaan.  

“Ini bermakna, kos infrastruktur itu tidak akan termasuk dalam nilai keseluruhan rumah. Jadi, mereka boleh memiliki sebuah rumah dengan keluasan tanah sekitar 10 hingga 12 ‘point’ pada harga yang rendah,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Perumahan di Lot 170, 287 & 290 Buan Land District di Tatau, Bintulu pada Selasa.

Premier Sarawak menambah, projek tersebut dijangka akan siap dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut akan menanggung kos deposit sebanyak RM10,000 untuk pembayaran rumah di bawah projek itu.

“Kerajaan Sarawak akan membayar deposit bagi rumah tersebut. Pembeli hanya perlu membuat bayaran secara bulanan untuk pinjaman di mana ia disediakan oleh Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd dengan bayaran serendah RM300.

“Ini merupakan skim perumahan yang tidak terdapat di mana-mana tempat lain di Malaysia,” tegasnya.

Difahamkan, dana yang diperuntukkan bagi projek tersebut melibatkan dana kerajaan persekutuan sebanyak RM18.5 juta untuk kerja-kerja infrastruktur dan dana kerajaan negeri sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja perumahan.

Pembangunan projek itu melibatkan kawasan seluas 23.5 hektar dengan menempatkan 87 unit rumah jenis ‘double storey detached’ yang direka bentuk seperti projek Sungai Bedaun, Kuching.

Antara hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip, ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman, Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Muhamad Yakup Kari dan Timbalan Pengerusi BDA, Dato Haidar Khan Ashgar Khan. -Edisi UKAS

add comment