PDRM Sarawak Terus Komited Beri Perkhidmatan Terbaik & Berkualiti

RABU, 11 JANUARI 2023

KUCHING: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak diseru untuk terus komited memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pasukan, masyarakat, bangsa serta negara khususnya di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata secara keseluruhan keadaan jenayah dan keselamatan semasa di negeri ini adalah terkawal dengan penurunan jenayah indeks yang dicatatkan.

“PDRM Kontinjen Sarawak juga telah berjaya memastikan proses Pilhan Raya Umum (PRU-15) lalu berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan tahniah atas pencapaian warga polis Sarawak dalam mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang menggalas tanggungjawab dalam penugasan.

Turut berlangsung dalam perhimpunan itu ialah penyampaian Surat Penghargaan PJP Sarawak kepada warga kerja PDRM Kontinjen Sarawak yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mendahului senarai penerima surat penghargaan adalah Ketua Jabatan Pengurusan, SAC Mohamed Mokhsein Mohamed Zon dan disusuli Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sarawak, ACP Ismail Mahmood.

Hadir sama, Pengerusi PERKEP Kontinjen Sarawak, Datin Nassariah Mohd Nassir, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata dan barisan Ketua Jabatan PDRM Kontinjen Sarawak.-EDISI UKAS

add comment