SABTU, 14 JANUARI 2023
INDONESIA: Seramai enam pelatih baharu telah menyertai program SayD’SignersSarawak kumpulan kelima di Institut Teknologi Bandung (ITB) Indonesia.
Sehubungan itu, Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) dengan kerjasama ITB Indonesia mengadakan majlis aluan untuk program itu di sini pada Jumaat.
Kumpulan pelatih tersebut ialah Nur Asyikin Zulkifli, Afina Ahmad Mahmud, Anneleolinyang Yanggor, Dylan Owen Patrick, Mohammad Nur Fathullah Suhaili dan diketuai oleh Wan Maizatul Akmal Abdullah.
Kumpulan ini akan memulakan latihan Tahun 2 di ITB di mana mereka akan mempelajari secara keseluruhan dari segi sejarah, lukisan teknikal, bangunan dan pengeluaran kerja kayu.
Latihan selama setahun itu berdasarkan sukatan pelajaran yang direka khas oleh ITB untuk program SayD’SignersSarawak sekaligus mendapat pengalaman yang tidak ternilai berkaitan reka bentuk perabot daripada pasukan penyelia program di ITB.
Turut hadir pada majlis aluan tersebut ialah Pengarah Presiden LAPI ITB Dr. Ir. Chalid Idham Abdullah, Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Saradec, Dayang Nena Abang Bruce.
Setakat ini, seramai 32 SayD’Signers daripada empat kumpulan lepas telah menamatkan pengajian dari program di ITB dan Saradec semakin menghampiri sasarannya untuk menghasilkan 100 SayD’Signers secara keseluruhan menjelang tahun 2030.
Sementara itu, CEO Saradec, Dayang Nena Abang Bruce berkesempatan mengucapkan tahniah kepada kumpulan baru pelatih dan merakamkan penghargaan kepada ITB, LAPI ITB, Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching di atas sokongan berterusan dalam menjayakan program ini.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian kit latihan kepada pelatih kumpulan kelima oleh Ketua Program Latihan Reka Bentuk Perabot, Dr Imam Santosa.
Untuk makluman, SayD’SignersSarawak adalah program latihan kemahiran selama dua tahun yang dibangunkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Saradec dan ITB.
Kursus latihan khas program yang dibangunkan oleh ITB akan membantu pereka muda untuk memperoleh semua kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menceburi industri reka bentuk perabot termasuk menjalani tahun akhir di Fakulti Seni Lukis dan Reka Bentuk (FSRD) ITB di Bandung, Indonesia, untuk memperhalusi pengetahuan dan kemahiran mereka. -EDISI UKAS