AHAD, 15 JANUARI 2023
BINTULU: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing telah menyumbangkan bantuan berupa makanan kering sebagai meringankan beban mangsa kebakaran di Rumah Selanjat Usah, Sungai Segan, Ulu Sebauh di sini.
Bantuan tersebut diberikan melalui pegawai khas beliau, Steven Kong Kai Seng kepada Tuai Rumah Selanjat pada petang Sabtu untuk diagihkan mangsa daripada 33 pintu di rumah panjang terbabit.
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu turut menyalurkan bantuan awal bencana seperti makanan kering, peralatan memasak, dapur dan tong gas, tilam, bantal, dan selimut kepada mangsa.
Difahamkan, Seramai 138 penghuni tinggal sehelai sepinggang setelah 33 daripada 36 pintu rumah panjang tersebut musnah dalam kebakaran yang berlaku pada pagi Sabtu.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 9.34 pagi.
Tiada sebarang kecederaan mahupun kehilangan nyawa dilaporkan manakala punca kebakaran dan nilai kerugian pula masih dalam siasatan.
Ini merupakan kejadian kebakaran kali kedua yang berlaku di rumah panjang itu di mana insiden pertama berlaku pada tahun 2011.-EDISI UKAS