SELASA, 17 JANUARI 2023
KUCHING: Sarawak komited untuk mentransformasikan sektor pertanian melalui teknologi digital dengan mencontohi pembangunan bagi sektor itu seperti Belanda.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak berminat untuk belajar daripada Belanda yang merupakan pengeksport makanan kedua terbesar dunia walaupun mempunyai saiz tanah dan populasi yang kecil.
Sehubungan itu, Sarawak bakal bekerjasama dengan Belanda untuk mengubah sektor pertanian melalui teknologi dan keselamatan makanan.
“Bagi Sarawak, kita mempunyai tanah yang luas, jumlah penduduk kecil tetapi kita boleh menjadi pengeksport makanan di wilayah ini.
“Perlu diingatkan bahawa 50 peratus penduduk dunia berada dalam kawasan enam jam melalui penerbangan dan kita boleh menjangkau pasaran ini iaitu yang pertama, keperluan yang perlu untuk memenuhi permintaan makanan, kedua, untuk menyediakan makanan berkualiti, ketiga, ia dalam rejim mampu milik.
“Ini akan menyumbang kepada kemakmuran rakyat di rantau ini dan itulah sebabnya kita perlu menggunakan pertanian pintar dan kepentingan melatih sumber manusia kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda di Kuching, pada Selasa.
Terdahulu dalam ucapannya, Premier Sarawak memberitahu Kerajaan Sarawak telah banyak melabur dana untuk menaik taraf infrastruktur dalam transformasi digital yang bukan sahaja dari segi teknologi baharu tetapi juga dari segi penyediaan sumber manusia.
Jelasnya, sektor pertanian Sarawak masih kekurangan penguasaan teknologi di mana masih ramai petani menggunakan kaedah tradisional dan bukan mudah untuk mengubah minda mereka untuk menerima teknologi moden.
Selain itu katanya, pengurusan tanah dan tapak semaian untuk menghasilkan benih juga isu utama kelemahan bagi sektor pertanian di negeri ini.
“Jika kita dapat menangani cabaran ini, saya percaya kita boleh mengubah keseluruhan sektor dan menyumbang kepada keselamatan makanan di rantau ini,” katanya.
Dalam program sama, Premier Sarawak telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak (M-FICORD) dengan Konsortium Kluster Makanan Metropolitan Sarawak (SFMC).
Terdahulu, Premier Sarawak turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Belanda ke Malaysia, HE Jacques Louis Werner.
Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak), Martin Ben, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah Urusan Agro Machtigen, Moshe SM Bujang, Managing Director of Agro Machtigen, Penasihat Pertanian Kerajaan Belanda untuk Asia, Joost Van Uum. -EDISI UKAS