AIGA 2022 Terima 10 Penyertaan Daripada Agensi Kerajaan & Swasta Sarawak

RABU, 18 JANUARI 2022

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 agensi kerajaan dan swasta daripada Sarawak telah menyertai Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022.

Antara penerima Anugerah Perak ialah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) serta Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

Manakala, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MLGH), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak (JKSS) pula telah memenangi Anugerah Gangsa dalam AIGA 2022 itu.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada sektor awam serta swasta yang komited dan membudayakan pengamalan integriti dalam organisasi.

Majlis yang julung kali diadakan di Malaysia pada Rabu bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Wan Suraya Wan Mohd Radzi, AIGA adalah platform terbaik di negara ini  bagi organisasi awam dan swasta menilai tahap pelaksanaan serta keberkesanan sistem pengurusan integriti dalam organisi.

Sementara itu, secara keseluruhannya, sebanyak 142 penyertaan termasuk 115 organisasi daripada agensi kerajaan, syarikat multi-nasional (MNC), syarikat awam berhad (PLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya meneruskan penyertaan sehingga ke peringkat penilaian AIGA 2022.-EDISI UKAS

add comment