RABU, 18 JANUARI 2023
LAWAS: Kerajaan Sarawak bertekad untuk terus meningkatkan pembangunan di kawasan Lawas.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pelbagai projek kini sedang dilaksanakan di situ untuk manfaat masyarakat setempat.
Jelasnya, antara projek itu termasuk Fasa Pertama Sarawak-Sabah Link Road , lapangan terbang baharu dan kemudahan utiliti termasuk talian internet.
“Kita juga mengambil perhatian terhadap keperluan lain seperti kesihatan dan pendidikan.
“Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dilaksanakan pembinaannya manakala CENTEXS yang sudah pun hampir siap,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Bazaar Gong Xi Fa Cai 2023 di Lawas pada Selasa.
Menyentuh berkenaan program tersebut, Datuk Amar Awang Tengah berkata ia merupakan satu usaha yang baik untuk masyarakat saling bekerjasama dalam menyemarakkan perayaan Tahun Baru Cina yang menjelang tiba.
Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan beramah mesra dengan penduduk Cina dengan mengunjungi semua gerai jualan bazar pada program itu.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS