KHAMIS, 19 JANUARI 2023
KUALA LUMPUR: Jabatan Premier Sarawak telah merangkul Anugerah Perak dalam Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA 2022) Peringkat Kebangsaan yang julung kali diadakan di Malaysia.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) Tan Sri Dr. Ismail Ibrahim kepada Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Semawi Mohamad dalam majlis di Institut Integriti Malaysia (IIM) disini pada Rabu.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya.
Antara pemenang Anugerah Perak AIGA 2022 ialah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC), Jabatan Hutan Sarawak dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Manakala pemenang bagi Anugerah Pingat Gangsa AIGA 2022 pula adalah Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Miri Port Authority, Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak.
Menurut satu kenyataan pada Khamis, AIGA adalah satu anugerah yang dibangunkan oleh IIM bertujuan mengiktiraf dan menghargai organisasi sektor awam dan swasta yang telah menzahirkan komitmen serta usaha dalam pembudayaan dan pengamalan integriti serta tata kelola terbaik.
Jelas kenyataan itu, AIGA juga merupakan penanda aras yang membolehkan organisasi mengukur keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan integriti dalam organisasi, sistem pengurusan dalaman berfokuskan kepada tadbir urus terbaik serta sistem kawalan dalaman bagi mengekang berlakunya rasuah dalam organisasi.
Untuk rekod, sebanyak 116 organisasi daripada agensi kerajaan dan swasta telah menyertai pertandingan itu.-Edisi UKAS