KHAMIS, 19 JANUARI 2023
BINTANGOR: Kepimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi tumpuan ke arah melaksanakan pelbagai projek bagi memastikan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar Sarawak kekal mampan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menegaskan kejayaan usaha itu tidak hanya bergantung pada kerajaan sebaliknya menuntut kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat.
Katanya, setiap persefahaman dan jalinan kerjasama kukuh dalam kalangan semua pihak amat penting dalam bagi memastikan pelancaran pelaksanaan projek berkenaan.
“Sehubungan itu, tiada kaum harus merasa terpinggir dengan setiap pembangunan dirancang kerana kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) diwakili oleh semua kaum.
“Yang pastinya setiap pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat secara langsung atau sebaliknya,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 di Dewan Masyarakat Sungai Sian Bintangor pada Khamis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menambah Bintangor bakal berubah wajah apabila beberapa peruntukan untuk projek rakyat sudah diluluskan antaranya pembinaan tebingan Sungai Bintangor yang baharu.
“Banyak lagi projek-projek dalam perancangan, justeru kita amat mengharapkan kerjasama semua pihak agar apa yang dirancang menjadi kenyataan,” tambah beliau.
Terdahulu, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dalam ucapan aluannya menghargai komitmen serta kerjasama ADUN Semop bersama-sama berusaha membangunkan Bintangor dari masa ke masa.
Katanya, ini terbukti menerusi beberapa inisiatif pembangunan hasil daripada permohonan bersama kedua-dua mereka dan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan tersebut.
Jelas beliau lagi, suasana kepimpinan politik yang tenang serta masyarakat Sarawak yang bekerjasama menjadi faktor utama kerajaan GPS mampu melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan rancak dan lancar.
Pada majlis sama turut disampaikan sumbangan bernilai RM3,000 kepada Kelab Tarian Singa Yong Shen Sarikei.
Program juga diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan pentas dan cabutan tiket bertuah.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong Badjuri Bidin, Ketua Polis Daerah Meradong DSP Sekam Anoi serta ketua-ketua masyarakat setempat. – EDISI UKAS