KHAMIS, 19 JANUARI 2023
KUCHING: Kerjasama antara kerajaan Sarawak dan Belanda akan membantu membangunkan sektor pertanian dan industri makanan di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau yakin menerusi jalinan kerjasama itu disebabkan Belanda merupakan pengeksport makanan kedua terbesar di dunia.
Menurutnya, meskipun Belanda berkenaan memiliki keluasan negara yang kecil, namun mereka berjaya menjadi antara pengeksport makanan utama dunia.
“Justeru, keperluan untuk mewujudkan ‘task force’ adalah penting bagi mempercepatkan pelaksanaan hasil dapatan daripada bengkel keselamatan makanan ini.
“Ini kerana sebarang usaha atau inisiatif untuk meningkatkan tahap keselamatan makanan di Sarawak perlu dilaksanakan dengan segera sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan Bengkel Keselamatan Makanan Sarawak-Belanda di sini pada petang Rabu.
Sementara itu, Dato Sri Dr Rundi berharap para peserta memanfaatkan pengetahuan dan perkongsian yang diperoleh sepanjang bengkel tersebut.
Hadir sama dalam program itu ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi & Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi & Pembangunan Wilayah), Martin Ben, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Datu Edwin Abit, Pengarah Urusan Agro Machtigen Malaysia Sdn Bhd, Moshe SM Bujang, dan Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD, Sirai Daha. -EDISI UKAS