Peruntukan Khas Perkara 112D Kepada Sarawak Ditingkatkan Kepada RM300 Juta Setahun

JUMAAT, 20 JANUARI 2023

KUCHING: Peruntukan khas yang diberikan kepada Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kini ditingkatkan kepada RM300 juta setahun berbanding RM16 juta yang diterima sebelum ini.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu, jumlah tersebut diperuntukkan sebagai langkah awal bagi menyelesaikan tuntutan mengikut Perkara 112D sebelum formula awal itu diperinci serta dicerakinkan semula supaya ia dapat terus diguna pakai.

Menurutnya, penelitian formula ini secara lanjut diperlukan untuk memastikan Sarawak dan juga Sabah mendapatkan peruntukan yang wajar pada masa depan.

“Untuk peringkat awal, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menekankan penetapan satu kaedah atau formula yang jelas, dan saya serta ahli-ahli Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah bersetuju untuk mendapatkan formula yang jelas.

“Tetapi pada peringkat awal ini, kita meningkatkan peruntukan RM16 juta setahun kepada RM300 juta sebagai satu sumbangan, tetapi ini akan tertakluk kepada formula.

“Apa kebijaksanaan formula? Bermakanya, kita tidak terikat kepada jumlah RM300 juta itu. Ia diberikan kerana kedudukan kewangan yang terbatas dan harus diperinci dan dicerakin supaya formula itu boleh diguna pakai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Kuching pada Jumaat.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu dalam MTPMA63, mereka turut disertai Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain.

Dato’ Seri Anwar menambah, penetapan formula yang betul akan membolehkan pemberian peruntukan khas itu tidak terikat dengan jumlah yang ditetapkan pada sesuatu masa sahaja, bahkan ia juga mengambil kira kedudukan kewangan negara.

“Formula ini harus ditetapkan dengan lebih teliti. Sekiranya Sarawak hanya setuju begitu sahaja, dia akan tertakluk kepada jumlah yang ditetapkan ini. 

“Jadi, berdasarkan Perkara 112D, formula ini mesti terikat. Kalau kerajaan tidak ada upaya seperti mana sekarang, itu Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah sememangnya sebut jelas.

“Cuma tidaklah kita hanya berupaya memberi RM16 juta setahun. Ia seolah mempersendakan tafsiran terhadap perjanjian (MA63) tersebut,” katanya. -Edisi UKAS

add comment