PM Meriahkan Program Jelajah Kerajaan Perpaduan -Kenduri Rakyat di Kubah Ria

JUMAAT, 20 JANUARI 2023

KUCHING: Meskipun jadual lawatan kerja rasmi yang padat, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Program Jelajah Kerajaan Perpaduan – Kenduri Rakyat di Kubah Ria di sini pada Jumaat.

Ia merupakan antara program bersempena dengan dalam lawatan rasmi sulung beliau ke Sarawak setelah dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas.

Beliau dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tiba di pekarangan Kubah Ria pada jam 2.07 petang.

Sejurus tiba, Perdana Menteri dan Premier Sarawak berkesempatan menyaksikan persembahan bermukun dan bergendang.

Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Menteri Persekutuan dan Menteri Sarawak, Timbalan- Timbalan Menteri Persekutuan dan Sarawak serta dif-dif kenamaan yang lain.

Perdana Menteri bersama Premier Sarawak juga menyempurnakan simbolik membuat Ais Krim Gula Apong di gerai Vanilapong sebelum menjamu selera.

Program berkenaan dihadiri oleh 1,000 masyarakat tempatan yang tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan pemimpin Malaysia itu.

Terdahulu, Dato’ Seri Anwar telah menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di Masjid Jamek Sarawak di sini setelah menghadiri Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

add comment