RM1 Bilion Naik Taraf Sempadan, Persediaan Hadapi Pemindahan Ibu Kota Indonesia

JUMAAT, 20 JANUARI 2023

KUCHING: Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion bagi menaik taraf kemudahan di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan negara Indonesia.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah sebagai meningkatkan penyediaan menghadapi kesan akibat pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur.

Katanya, pemerkasaan di sempadan itu akan merangkumi aspek-aspek kastam, imigresen, keselamatan dan prasarana asas.

“Kita telah memutuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan dan meningkatkan keupayaan kastam dan imigresen (CIQ), keselamatan seperti polis dan tentera, dan juga prasarana asas seperti jalan raya.

“Ini kerana kita tidak patut dilihat sebagai terlalu daif di kawasan tersebut. Kementerian Kewangan telah memberi kelulusan awal sebanyak RM1 bilion untuk sempadan ini bagi memulakan kerja-kerja dalam tempoh segera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini pada Jumaat.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor, Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu dalam MTPMA63, mereka turut disertai Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Seri Anwar berkata, pemberian bonus kepada penjawat awam akan dikecualikan daripada cukai.

Beliau memberitahu, ini susulan pertimbangan bahawa jumlah insentif khas yang diberikan itu adalah tidak tinggi.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengusulkan isu ini dan saya fikir ianya munasabah. Bonus itu tidak tinggi.

“Oleh itu, bonus akan dikecualikan daripada cukai. Ini akan terpakai untuk semua penjawat awam di negara ini,” tegasnya. -EDISI UKAS

add comment