SABTU, 21 JANUARI 2023
KUCHING: Amalan bantu membantu antara satu sama lain terutama menjelang perayaan yang disambut oleh masyarakat majmuk di Sarawak perlu diteruskan oleh generasi muda.
Timbalan Perdana Menteri (TPM) merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, semangat bantu membantu tanpa mengira latarbelakang agama dan budaya itu telah dilakukan sejak dari dahulu dan ia perlu diteruskan oleh generasi muda kini.
“Sudah memang menjadi tanggungjawab kita dan inilah semangat kita khususnya di Sarawak di mana kita membantu antara satu sama lain. Yang tua menjaga orang muda, yang muda bantu org tua, yang kaya membantu yang miskin, yang kuat bantu yang lemah.
“Kalau ini dapat kita laksanakan, barulah akan timbul rasa kasih sayang, hormat menghormati dan seterusnya secara sendiri akan timbul semangat untuk tolong menolong antara satu sama lain.
“Kalau ini berlaku kita akan dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni. Inilah dikatakan kebahagian dalam kita hidup bersatu padu tanpa mengira latarbelakang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program penyampaian sumbangan kepada komuniti Tiong Hua iaitu warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) kawasan Sungai Tengah Matang di sini pada Sabtu.
Sementara itu, ketika ditemui media selepas menyempurnakan program berkenaan, Dato’ Sri Fadillah memberitahu, program penyerahan sumbangan itu merupakan program tahunan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong bersama Parlimen Petrajaya.
Beliau berharap semangat bantu membantu itu dapat menjalin perpaduan rakyat Sarawak dan dapat mewujudkan masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan harmoni.
Hadir sama dalam program berkenaan ialah isteri TPM Datin Sri Ruziah Mohd dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.-Edisi UKAS