Perbincangan Penyelarasan Peruntukan Awal RM1 Bilion Naik Taraf Sempadan Akan Dilakukan

SABTU, 21 JANUARI 2023

KUCHING: Perbincangan berkaitan penyelarasan peruntukan awal RM1 bilion bagi menaik taraf kemudahan di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan negara Indonesia akan dilakukan.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, perbincangan itu nanti akan melihat kepada keutamaan bagi Sarawak dan Sabah untuk dilaksanakan tahun ini dan seterusnya.

“Kita akan berbincang dengan Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Melihat kepada peruntukan awal berjumlah RM1 bilion yang telah diumumkan, kita akan melakukan penyelarasan dimanakah keutamaannya bagi Sabah dan Sarawak untuk kita laksanakan pada tahun ini dan tahun seterusnya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan program penyampaian sumbangan kepada komuniti Tiong Hua kawasan Sungai Tengah Matang pada Sabtu.

Dato’ Sri Fadillah menambah, jalinan jalan sempadan dan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di Sarawak dan Sabah perlu dipertingkatkan berikutan pemindahan ibu negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur.

“Di Sarawak terdapat dua buah CIQS utama iaitu di Ba’kelalan dan Lundu jadi itu akan dipertingkatkan.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga menyuarakan untuk melihat Tebedu kerana Tebedu juga perlu dipertingkatkan CIQ sebab Indonesia dah siap. Jadi jalan menghubungi dari Tebedu ke Serian perlu juga dinaiktaraf.

“Jadi ini salah satu fokus yang saya akan bawa kerana saya dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pembangunan fizikal untuk Sarawak dan Sabah,”jelas beliau lagi.-Edisi UKAS

add comment