SABTU, 21 JANUARI 2023
KUCHING: Dalam konteks hubungan etnik di Sarawak, perbezaan budaya dan kepercayaan sama sekali tidak mengasingkan satu kaum dengan kaum yang lain.
Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, konteks tersebut mengekalkan keharmonian dan menggerakkan negeri ini ke arah kemajuan rakyat sebagaimana negeri-negeri lain di Malaysia.
Oleh itu, beliau sentiasa percaya bahawa semua rakyat Sarawak telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan serta keperluan antara satu sama lain.
“Sepanjang tahun kita mempunyai banyak perayaan yang diraikan seperi perayaan Hari Raya, Gawai Dayak, Christmas, Deepavali dan lain-lain lagi sebab kita mempunyai masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa.
“Yang baiknya, sambutan perayaan ini turut diraikan bersama oleh kaum-kaum lain melalui konsep rumah terbuka.
“Saya menyeru agar kita sama-sama mengekalkan budaya seperti ini walaupun kita berlainan cara hidup, budaya dan kepercayaan.
“Ia akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekaligus melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara,” katanya dalam perutusan khas sempena Tahun Baru Cina 2023 pada Sabtu. -Edisi UKAS