KCFC Mulakan Jelajah Pramusim Di Mukah

SELASA, 24 JANUARI 2023

MUKAH: Skuad Kuching City FC (KCFC) memulakan jelajah pramusim 2023 mereka dengan berkunjung ke Mukah untuk memperkenalkan skuad baharu yang bakal berentap dalam saingan Liga Super tahun ini.

Menurut Ketua Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim jelajah itu juga merupakan salam perkenalan skuad itu sebagai melambangkan skuad itu bukan sekadar mewakili Kuching City sahaja tetapi juga membawa nama Sarawak.

Pada masa sama katanya, jelajah itu juga bertujuan mencari bakat-bakat yang berpotensi di setiap lokasi yang dijelajahi untuk diserapkan dalam skuad KCFC nanti.

“Terima kasih di atas sambutan penduduk di Mukah hari ini, dan ianya satu kenangan yang baik bagi kami.

“Pada jelajah perlawanan ini, sedikit sebanyak untuk memperkenalkan pemain-pemain import kami,” katanya kepada media selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara KCFC menentang Pilihan Mukah di Padang MDDM Mukah pada Selasa.

Dalam perlawanan tersebut, KCFC yang membariskan pemain importnya, Abu Kamara, Celio Ferrera Dos Santos, Sorijiddin Kuziev dan Sudi Abdallah menang dengan jaringan 8-0.

Turut menyaksikan perlawanan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Ketua Pegawai Eksekutif KCFC Iswandy Ali Hassan, Presiden Persatuan Bolasepak Mukah (MuFA) Khairul Annuar Adeni, Pemangku Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip, Pengurus KCFC Kamaludin Akil dan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching Ahmad Zaki Zaidi.

Skuad itu akan meneruskan jelajah pramusim ke Betong pada 26 Januari dan berakhir di Sibu pada 28 Januari nanti.

Difahamkan, sesi memperkenalkan pemain dan jersi KCFC akan diadakan pada 11 Februari depan di Tebingan Kuching.

Kempen Liga Super 2023 bakal memulakan saingannya pada 24 Februari depan. – EDISI UKAS

add comment