RABU, 25 JANUARI 2023
LIMBANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang menyantuni mangsa kebakaran di Rumah Panjang Bujang Minggan, Kampung Rantau Kiran di sini pada Rabu.
Beliau menyerahkan sumbangan berupa wang tunai yang berjumlah keseluruhan RM39,000 untuk diagihkan kepada 39 pintu rumah panjang iu yang musnah dijilat api.
Simbolik penyerahan telah dilakukan oleh Paulus Palu dan diserahkan kepada Penghulu Tan Kayan yang merupakan salah seorang daripada mangsa kebakaran dan penghuni rumah panjang tersebut.
Dalam pada itu, turut diserahkan ialah bantuan air minuman bagi membantu menampung keperluan harian mangsa.
Insiden kebakaran yang berlaku telah memusnahkan rumah panjang yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata serta harta benda milik penghuni.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di dalam insiden tersebut dan mangsa yang terjejas ditempatkan di dalam gereja, garaj tempat letak kereta dan rumah saudara-mara yang terdekat.
Setakat ini bantuan yang telah disalurkan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seperti makanan harian, kit kebersihan, kelengkapan tidur dan makanan kering.
Bantuan dan keperluan yang lain dijangka akan diberikan kemudian setelah selesai siasatan dan laporan lengkap dibuat.
Antara yang turut hadir semasa mrnyantuni mangsa itu ialah isteri ADUN Batu Danau Mary Sindang Timbalan Residen Bahagian Limbang Jamalie Busrie, Pemangku Pegawai Daerah Limbang Hamidah Halpi, Timbalan Ketua Polis Daerah Limbang Inspektor Leong Tindan, dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang Wan Hasif Wan Jamari.-Edisi UKAS