Kementerian Perpaduan Negara Giat Rancang Pelan Tindakan Jayakan Aspirasi Malaysia MADANI

KHAMIS, 26 JANUARI 2023

KUCHING: Kementerian Perpaduan Negara memainkan peranan yang sangat besar dalam menjayakan aspirasi Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya kini sedang merancang pelan tindakan untuk menjayakan aspirasi tersebut.

“Kementerian Perpaduan Negara kini sedang giat merancang pelan tindakan dalam mempromosikan konsep masyarakat MADANI melalui perspektif perpaduan dalam kepelbagaian yang terangkum di bawah inisiatif Dasar Perpaduan Negara (DPN),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sembang Perpaduan semasa melakukan lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan Labuan di sini pada Khamis.

Ahli Parlimen Kanowit itu turut berkongsi berkaitan Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Labuan telah direkodkan sebagai negeri paling bahagia dengan skor 9.29.

“Dalam hal ini, Labuan boleh dijadikan model kepada kawasan-kawasan lain dalam mengurus kesejahteraan, keharmonian dan perpaduan dalam komuniti,”ujarnya lagi.

Sementara itu, dalam lawatan kerja itu, Datuk Aaron Ago berkesempatan mendengar taklimat ringkas berkaitan perancangan tahunan oleh wakil agensi Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam program berasingan pula, beliau telah menyampaikan bantuan pek RT Cares Bakul Rahmah kepada golongan B40 yang berasal dari Kampung Patau-Patau 2 yang selari dengan dasar Kerajaan bagi membantu golongan rentan mengatasi kos sara hidup.

Beliau berkata, program yang berorientasikan tanggungjawab sosial khususnya oleh jentera perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) itu berupaya meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti setempat.

Datuk Aaron Ago turut berharap agar program-program seumpama itu dapat dilaksanakan dengan lebih banyak pada masa hadapan dan penglibatan agensi swasta dan badan bukan kerajaan perlu ditingkatkan.

Selain daripada lawatan kerja itu, Datuk Aaron Ago juga turut melawat ke Muzium Chimney, dan Perpustakaan Desa Kampung Sungai Labu serta meluangkan masa bersama kanak-kanak dari Tabika Perpaduan Kampung Sungai Miri dan Tabika Perpaduan Taman Perumahan Layang-Layangan.-Edisi UKAS

add comment