Pusat Satelit MyFutureJobs Diwujudkan Di Pustaka Miri

KHAMIS, 26 JANUARI 2023

MIRI: Pustaka Negeri Sarawak, Miri kini menjadi Pusat Satelit MYFutureJobs yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Miri.

Perbincangan antara kedua-dua organisasi telah dibuat pada 13 Januari lalu.

Persetujuan untuk Pustaka Miri menjadi Pusat Satelit MYFutureJobs adalah antara agenda yang dipersetujui. 

Pihak PERKESO akan dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan di Pustaka bagi menjayakan pelaksanaan MYFutureJobs.

Pusat Satelit MYFutureJobs merupakan satu inisiatif inovatif Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO selaku penyedia perkhidmatan pekerjaan awam untuk membantu meningkatkan akses dan kebolehcapaian masyarakat khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar serta orang kelainan upaya (OKU) kepada peluang pekerjaan yang terdapat di seluruh negara.  

Pusat Satelit MYFutureJobs berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti profiling, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan.

Menerusi kemudahan ini juga, pencari kerja warga tempatan boleh memanfaatkan kemudahan bagi mengakses peluang-peluang pekerjaan yang diiklankan dari seluruh negara menerusi Portal Pekerjaan Nasional MYFutureJobs.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi pihak PERKESO Miri – Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Cornelius Darren Liban atau Pegawai Perhubungan Majikan Nur Fatinah Ibrahim di talian 085-419800. -EDISI UKAS

add comment