Anjung Kasih YKN Hospital Miri Rumah Penginapan Sementara Pesakit & Pengiring Pesakit

JUMAAT, 27 JANUARI 2023

MIRI: Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Miri merupakan rumah penginapan sementara yang berbeza dengan Anjung Kasih lain di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, Anjung Kasih yang terdapat di Miri itu menempatkan bukan sahaja pengiring pesakit malah pesakit yang datang dari kawasan luar daripada Bandar Miri.

“Anjung kasih pada mulanya dibina untuk memberi kemudahan kepada ahli keluarga untuk menjaga keluarga mereka yang menjadi pesakit.

“Oleh kerana kita di Sarawak ini kawasannya besar, jadi ada yang datang dari jauh, jadi tidak dapat tinggal di tempat lain seperti hotel sebab mereka perlu berada dekat dengan hospital .

“Jadi anjung kasih ini bukan hanya untuk mereka yang menjaga pesakit, tetapi pesakit pun datang tinggal di sini kerana ada yang datang lebih kepada pesakit yang mendapat latihan untuk menggunakan peralatan mengubati sakit buah pinggang.

“Jadi ini bezanya di sini dengan di tempat lain, biasanya di tempat lain tidak ada pesakit sendiri tinggal di anjung kasih,”katanya kepada media selepas melakukan lawatan ke  Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Hospital Miri pada Jumaat.

Dato’ Sri Nancy yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Hospital Miri itu, turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Hospital Miri atas kebenaran untuk pesakit dan pengiring pesakit tinggal di Anjung Kasih berkenaan.

Beliau juga memberitahu, buat masa ini, Anjung Kasih Hospital Miri itu sedang menempatkan seramai 18 penghuni termasuk pesakit dan pengiring pesakit.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni yang turut sama dalam lawatan itu berkata, kemudahan Anjung kasih Hospital Miri itu adalah penting terutama sekali apabila hospital itu menjadi tumpuan utama untukpenduduk di wilayah utara Sarawak.

Beliau juga menambah, akan ada peningkatan keperluan untuk kemudahan Anjung Kasih itu kerana bilangan pesakit juga akan meningkat dengan penaiktarafan Hospital Miri dalam tempoh 10 tahun akan datang di bawah Kertas Putih Kementerian Kesihatan (KKM).

Terdahulu,  sebelum lawatan ke Anjung Kasih,  Dato Sri Nancy telah melakukan lawatan ke  Sekolah Tunas Bakti Perempuan Miri iaitu sejauh 14 kilometer  dari bandar Miri.

Susulan daripada lawatan beliau ke Sekolah Tunas Bakti Perempuan Miri  itu, beliau menekankan mengenai isu pencemaran udara yang perlu diberi perhatian yang mana stesen pemindahan sisa pepejal di Lambir yang ditempatkan bersebelahan dengan Sekolah Tunas Bakti.

Beliau berharap pihak berkuasa tempatan dapat membantu untuk memindahkannya supaya ia tidak memberi kesan kepada mereka yang tinggal di situ terutama sekali di Sekolah Tunas bakti.

Hadir sama dalam lawatan kerja itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara Malaysia Nordina Haron, dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu.-Edisi UKAS

add comment