JUMAAT, 27 JANUARI 2023
KUCHING: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mahu menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi di bawah kerajaan Sarawak.
Timbalan Pengerusinya, Dato Wan Mohamad Dato Sheikh Abd. Aziz memberitahu, pihaknya mahu menjalinkan kerjasama dengan menjalankan program-program yang dijalankan oleh IKIM dalam penyelidikan, seminar, persidangan, dan lain-lain lagi.
“Misalnya kerjasama dalam bidang penyelidikan yang boleh dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi di bawah Kerajaan Sarawak termasuk program yang bersifat latihan.
“Kami sangat teruja kerana kami dapati program seumpama ini, pihak Kerajaan Sarawak jauh ke depan termasuk kerjasama dengan pihak luar negara.
“Jadi kita juga ingin tawarkan kerjasama termasuk pelaksanaan program wacana intelektual, seminar antarabangsa dan seumpamanya,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di sini pada Jumaat.
Dato Wan Mohamad menambah, IKIM akan menjadi jambatan untuk memperhebatkan kerjasama dengan mana-mana agensi di bawah kerajaan Sarawak untuk manfaat bersama.
Beliau menambah, selari dengan misi dan fungsi IKIM selaku agensi yang memberi fokus kepada penyelidikan, perundingan dan menggalakkan persefahaman, IKIM melihat Sarawak sebagai model untuk mempergiatkan lagi agenda memupuk keharmonian antara rakyat Malaysia yang mempunyai pelbagai latar belakang agama, kaum, budaya dan sebagainya.
Dedah beliau lagi, dalam kunjungan hormat itu, beliau turut berkongsi mengenai aktivti-aktiviti yang dijalankan oleh IKIM kepada Premier Sarawak.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha dan Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.-Edisi UKAS