Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak Kini Kembali

JUMAAT, 27 JANUARI 2023

KUCHING: Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak kini kembali setelah penganjurannya tertangguh sebelum ini susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, matlamat pertandingan bahas itu adalah bagi memupuk, memperkukuh dan memperkasa Bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar di negeri ini.

“Kita telah bersetuju untuk mewujudkan kembali Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak di Sarawak ini sebagai salah satu penganjuran besar.

“Ini adalah antara program yang mendapat sokongan penuh daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Hadir sama dalam kunjungan itu ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari.

Fadhlina juga memaklumkan, pihaknya juga akan menjalankan program-program pendidikan bersama dengan kerajaan Sarawak yang akan memberikan banyak manfaat kepada semua dan menyambut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara keseluruhannya.

Selain itu katanya, dalam kunjungan hormat berkenaan, beberapa isu-isu pendidikan di Sarawak turut dibincangkan bersama Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari.

“Pertamanya sudah pasti berkenaan isu-isu pendidikan di Sarawak yang saya fikir ini adalah antara kerja keras kita dalam menyambut khususnya MA63 dalam bercakap tentang soal pendidikan utk semua dan akses pendidikan yang  kita harus utamakan yang berkait rapat juga dengan pembangunan sekolah-sekolah daif di Sarawak.

“Kedua ialah kami bincangkan mengenai pengalaman-pengalaman Sarawak berkaitan peneguhan inisiatif perpaduan dalam negara yang saya fikir juga sangat penting untuk kami terus jadikan ia komitmen bersama termasuk di peringkat nasional yang berkait rapat dengan perpaduan,”jelas beliau lagi.-Edisi UKAS

add comment