JUMAAT, 27 JANUARI 2023
BINTULU: Budaya kunjung-mengunjungi sempena hari perayaan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini mampu memupuk semangat perpaduan menerusi konsep Malaysia Madani.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr Sim Hui Kian berkata, amalan tersebut harus dikekalkan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, sebagai rakyat Sarawak, masyarakat di negeri ini wajar memperkukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan mereka menerusi kunjungan sambutan perayaan.
Beliau berkata demikian semasa bersama isterinya Datin Sri Enn Ong Siok Ean berkunjung ke beberapa kediaman di Bintulu pada Khamis.
Antara kediaman yang dikunjungi ialah Presiden Tetap Kehormat Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu, Pengerusi Dayabaru Sdn Bhd. Dato William Ting Choon Hua di Chin Lee Garden, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Destiny Patrick Lau Hieng Ung di Sanctuary Villa, Setiausaha Kehormat Gabungan Persatuan Cina Malaysia Datuk Dr Wong Aik Loung di Taman Bintulu, Penasihat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bintulu di Tanjung Batu dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu Yek Siew Liong di Taman Hock Lee.
Turut mengiringi beliau ialah Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming, Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. -EDISI UKAS