Rukun Tetangga Siap Sedia, Beri Perkhidmatan Berkualiti

JUMAAT, 27 JANUARI 2023

BINTULU: Rukun Tetangga perlu sentiasa bersedia dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang kepada komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Phang Leong Ming berkata, mereka berperanan dan menjadi tonggak perpaduan serta jentera barisan hadapan di peringkat komuniti.

“Rukun tetangga merupakan wadah penyatuan masyarakat pelbagai kaum, agama, budaya dan kepecayaan.

“Semangat kesukarelawan dalam kelompok komuniti merupakan  nilai yang tidak dapat diukur dengan wang ringgit mahupun dengan baris kata-kata.

“Ia merupakan satu amanah dan nilai yang perlu ada pada setiap masyarakat dalam membangun modal insan selari dengan perubahan dan cabaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pegawai Khasnya Angellie Stephen Raja dalam Majlis Apresiasi Jentera Perpaduan Dan Kawasan Rukun Tetangga Bahagian Bintulu Tahun 2023 di Dinner World Restaurant di sini pada Khamis.

Beliau menambah, melalui Rukun Tetangga, masyarakat berbilang kaum yang ada dapat berinteraksi dengan harmoni, aman dan sejahtera.

Sehubungan itu, ujar beliau lagi, pemimpin dalam rukun tetangga perlu  memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membangunkan komuniti.

Katanya, bukan hanya dalam melaksanakan aktiviti semata-mata tetapi mereka perlu melihat kepada keperluan masyarakat di peringkat akar umbi untuk di sampaikan kepada agensi yang berkaitan bagi penyampaian maklumat yang lebih tepat.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Sarawak Dirwani Azool, dan Pegawai Perpaduan Bahagian Bintulu Diana Seliman.-Edisi UKAS

add comment