Bekalan Elektrik Stabil Pacu Ekonomi Betong

SABTU, 28 JANUARI 2023

BETONG: Projek transmission line yang akan dilaksanakan Sarawak Energy Berhad (SEB) amat diperlukan bagi menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil di kawasan Betong.

Menurut Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, dengan siapnya pembinaan sub-stesen di Serudit di sini, kebolehpercayaan kepada bekalan elektrik di kawasan itu telah meningkat.

Katanya, penyediaan bekalan elektrik yang stabil juga dapat menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi di kawasan itu.

Dalam hal ini, beliau amat berterima kasih di atas kerjasama para pemilik tanah yang terlibat kerana mengenepikan kepentingan individu dengan membenarkan tanah mereka diambil alih demi merealisasikan projek ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Cek Pampasan Tanah Projek ‘Serudit – Sri Aman 132KV Transmission Line Project (Betong Sector)’ di Betong Digital Innovation Hub pada Jumaat.

Dato Gerald yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar turut menasihati penerima pampasan tanah untuk menggunakan wang mereka dengan berhemah.

Jumlah keseluruhan pampasan yang diserahkan pada majlis berkenaan adalah RM386,151.10 yang melibatkan 21 orang penerima.

Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong Moris Nayup, Pegawai dari Sarawak Energy Berhad (SESCO) Betong Hendrick Litor serta ketua-ketua masyaraat setempat. – EDISI UKAS

add comment