SABTU, 28 JANUARI 2023
LIMBANG: Nasib penduduk di Rumah Bujang Minggan, Rantau Kiran, Limbang yang terkesan akibat kebakaran beberapa hari lalu mendapat perhatian daripada pelbagai pihak yang menyampaikan bantuan bernilai RM8,500 pada Jumaat.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dengan menyerahkan bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 di bawah peruntukan SABERKAS Prihatin.
Manakala isterinya Mary Sindang yang mewakili SABATI turut menghulurkan RM1,000 dan bantuan peribadi berupa kain sarung sebanyak 78 helai kepada Bendahari Jawatankuasa Bencana Rantau Kiran Monica Rilla.
Turut menghulurkan bantuan Pengerusi Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bisaya (MKMKKB) Temenggong Nicholas Buyok Pura dengan menyerahkan sejumlah RM1,500 dan diikuti Ketua Pemuda PBB Batu Danau dengan sumbangan RM5,000 disampaikan oleh Jonidi Mamat.
Selain bantuan wang tunai, mangsa turut menerima bantuan bekalan air minuman.
Bantuan atau sumbangan wang tunai yang dihulurkan bagi membantu mangsa membeli barangan keperluan harian dan peralatan bina rumah sementara.
Semasa lawatan, Paulus sempat meninjau keadaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di gereja Kampung Rantau Kiran dan beramah mesra dengan penduduk kampung.
Katanya, sumbangan berkenaan adalah satu daripada tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin agensi kerajaan itu kepada rakyat.
Setakat ini, agihan bantuan daripada orang awam, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan persendirian dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi mangsa yang ditimpa musibah itu. – EDISI UKAS