Pencapaian MPHLG Cermin Sokongan Usaha PM Basmi Rasuah, Pulih Ekonomi

SABTU, 28 JANUARI 2023

KUCHING: Anugerah Integriti, Tadbir Urus Dan Anti Rasuah (AIGA) 2022 telah menyaksikan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) menerima anugerah gangsa baru-baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan pada Sabtu, Setiausaha Tetap MPHLG Datu Antonio Kahti Galis telah melakukan kunjungan hormat untuk menyampaikan anugerah berkenaan kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri MPHLG Dato Sri Dr Sim Kui Hian di pejabatnya.

Kenyataan sama berkata, MPHLG merupakan satu-satunya kementerian yang mengambil bahagian daripada 10 penyertaan daripada sektor awam Sarawak dan antara yang menerima anugerah gangsa.

Jelas kenyataan berkenaan, pencapaian itu mencerminkan sokongan MPHLG terhadap usaha Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membasmi rasuah dan memulihkan ekonomi pasca Covid-19 bagi meningkatkan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia dalam Kerajaan Perpaduannya.

Tambah kenyataan itu, kementerian dan organisasi lain adalah digalakkan untuk terus berusaha menambah baik sistem pengurusan dalaman mereka dengan matlamat untuk menegakkan tadbir urus yang baik.

Untuk rekod, daripada 116 penyertaan, hanya 92 organisasi daripada sektor awam dan swasta menerima pengiktirafan atas komitmen dan usaha mereka dalam memupuk integriti dan amalan tadbir urus yang baik pada majlis AIGA yang julung kali diadakan oleh Institut Integriti Malaysia.

Pemenang dinilai dan dianugerahkan dengan pencapaian terbaik Gangsa, Perak, Emas dan Platinum.-Edisi UKAS

add comment