Tadika Hikmah Miri Miliki Bangunan Tambahan Baharu

SABTU, 28 JANUARI 2023

MIRI: Tadika Hikmah Miri telah mempunyai bangunan tambahan baru yang terdiri dari tiga bilik kelas belajar tambahan dan dilengkapi pendawaian elektrik.

Bangunan itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I merangkap ADUN Piasau, Dato Sebastian Ting Chiew Yew dalam Majlis Penyerahan dan Perasmian Bangunan Tambahan Tadika Hikmah Krokop, Miri pada Jumaat.

Turut hadir Yang-Dipertua HIKMAH Sarawak Dato Temenggong Abdul Rahman Fadzail, Jurutera Awam Jabatan Kerja Raya Cawangan Miri Syazwan Zainal serta Lembaga Pengurusan Tadika Hikmah Bahagian Miri.

Projek itu telah bermula pada 12 Julai 2022 dan siap sepenuhnya pada 11 Januari 2023 dengan melibatkan kos pembinaan sebanyak RM200,000 melalui geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Untuk rekod, tadika itu mempunyai seramai 207 orang pelajar yang menggunakan tujuh buah kelas belajar.

Ia sangat unik kerana lokasinya yang terletak di kawasan Persatuan Cina, tokong serta kuil untuk memberi peluang kepada pelbagai lapisan masyarakat di Miri menghantar anak-anak mereka belajar di tadika berkenaan.

Ini sekali gus akan mengukuhkan lagi keharmonian pelbagai kaum dan agama yang ada di Miri. – EDISI UKAS

add comment