Bario Antara Sempadan Akan Ditambah Baik

AHAD, 29 JANUARI 2023

BARIO : Pos Sempadan Bario merupakan antara lokasi yang dipersetujui untuk ditambah baik oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) pada 20 Januari lepas. 

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, pos sempadan itu termasuk agenda menaik taraf kemudahan sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan negara Indonesia di mana Dato’ Seri Anwar telah mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM 1 bilion. 

“Dengan pemindahan ibu kota negara Indonesia ke Nusantara, Kalimantan Timur, Jawatankuasa Pemandu Nasianal MA63 juga bersetuju untuk membina satu jalan di kawasan sempadan Wilayah Sarawak dan Kalimantan yang digelar ‘Border Security Road’ untuk keperluan keselamatan di sempadan kita. 

“Justeru, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas penurunan kuasa  kepada Pegawai Imigresen di Bario dan mempermudahkan urusan bagi membuat Pas Limpas Batas (PLB) di Bario,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Lawatan Kerja Ketua Pengarah JIM ke Bario pada Sabtu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu menjelaskan, beliau ingin memohon kepada pihak JIM Malaysia untuk mempertimbangkan agar kaunter khas untuk PLB diperluas ke kawasan Pa’ Dallih dan Long Banga memandangkan kedua-dua kawasan tersebut merupakan kawasan aktif pergerakan ke Indonesia yang telah lama wujud (laluan tradisi). 

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rombongan JIM Malaysia yang sudi berdialog bersama komuniti setempat dan memberi perhatian kepada warga tempatan yang masih memegang kad pengenalan hijau. 

Turut hadir, Ketua Pengarah JIM Dato Sri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Ken Leben, serta barisan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Daerah Kecil Bario. -Edisi UKAS

add comment