Kerajaan Sarawak Komited Naik Taraf Lawas

AHAD, 29 JANUARI 2023

LAWAS : Lawas mempunyai potensi yang tinggi dan akan terus ditingkatkan dari segala aspek. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan pelbagai sektor di kawasan ini termasuk menjadikannya sebagai pusat pengeluaran kerbau selain kawasan Limbang. 

“Sasaran kita adalah untuk sekurang-kurangnya 10,000 ekor kerbau dipelihara dan kita akan cuba memastikan ia dapat dilaksanakan.

“Selain itu, Kita juga boleh membangunkan sektor pelancongan kerana Lawas mempunyai tanah rendah, tanah tinggi dan pesisir laut,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam sebuah majlis makan malam di Restoran Mutiara Lawas pada Sabtu. 

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, Kerajaan Sarawak turut akan memulakan fasa pertama pembinaan lapangan terbang baharu pada tahun ini. 

Manakala ujarnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga telah meluluskan pembinaan pelabuhan di Lawas. 

Katanya, semua langkah yang diambil ini bertujuan untuk menarik pelaburan di Lawas dengan kini sudah ada beberapa syarikat yang mula menunjukkan minat. 

Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong serta isteri Datin Tunong dan Datuk Bandar Kuching Utara (DBKU) Datu Junaidi Reduan serta isteri Datin Dayangku Rohani Pengiran Kassim. -Edisi UKAS

add comment