AHAD, 29 JANUARI 2023
BINTULU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg meneruskan kunjungan sempena Tahun Baharu Cina dengan melawati beberapa rumah terbuka di Bintulu pada Ahad.
Beliau memeriahkan lagi suasana hari kelapan sambutan Tahun Baharu Cina dengan melawat ke Majlis Rumah Terbuka Parti Demokratik Progresif (PDP) di Dewan Suarah Bintulu.
Kehadiran beliau dalam majlis tersebut telah disambut mesra oleh Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya merangkap Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing serta ahli barisan tertinggi PDP yang lain.
Di situ, beliau bersama tetamu jemputan lain berkesempatan menyempurnakan simbolik menggaul Yee Sang sebagai tanda kesejahteraan dan menyambut tuah.
Premier Sarawak kemudiannya meneruskan kunjungannya ke Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Restoran Dinner World.
Majlis tersebut turut menyambut ulang tahun keenam Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari sebagai Premier Sarawak di mana beliau telah menerima cenderahati daripada pihak SUPP.
Antara turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Atom, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, Residen Bahagian Bintulu, Nyurak Keti, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Nelson Balang Ringin, dan Setiausaha Agung PDP, Dato Anthony Nugeh Gumbek. -EDISI UKAS