Sarawak Sebagai Bakul Makanan Malaysia

AHAD, 29 JANUARI 2023

BINTULU: Sarawak mempunyai perancangan untuk menjadi bakul makanan atau ‘food basket’ bagi seluruh Malaysia.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kementeriannya dalam pada itu mempunyai harapan besar untuk peruntukan bagi sektor keselamatan makanan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

“Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menumpukan usahanya kepada aspek keselamatan makanan. Oleh itu, Sarawak berharap akan mendapat peruntukkan yang sewajarnya untuk sektor ini.

“Sarawak juga mempunyai banyak kawasan yang luas, dan kita menginginkan agar aspek ini menjadikan negeri kita sebagai bakul makanan untuk seluruh negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di Restoran Dinner World di sini pada Ahad.

Dato Sri Dr Stephen Rundi menambah, Sarawak bekerjasama dengan Singapura bagi bantu membangunkan negeri melalui industri pertanian dan teknologi baru.

“Kita akan menggunakan Singapura sebagai platform untuk membantu mengeksport produk Sarawak ke luar untuk meningkatkan hasil negeri,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS

add comment