Premier Sarawak Sertai Rombongan Perdana Menteri Ke Singapura

ISNIN, 30 JANUARI 2023

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyertai rombongan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Isnin.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari tiba di negara republik itu dari Bintulu pada tengah hari Ahad untuk menyertai Perdana Menteri dalam kunjungan rasmi pertamanya ke negara itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10. 

Setibanya beliau ke Singapura, Dato’ Seri Anwar mempengerusikan pra-mesyuarat bersama pegawai-pegawai Malaysia yang lain di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura bagi membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala untuk dikemukakan dalam kunjungan hormat kepada Lee Hsien Loong pada pagi Isnin.

Dalam pada itu, Premier Sarawak turut hadir ke pra-mesyuarat tersebut untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai hal-hal berkaitan kerjasama ekonomi antara Sarawak dengan Singapura khususnya berkenaan eksport tenaga boleh diperbaharui dan juga perdagangan karbon.

Beliau kemudiannya menyertai kunjungan hormat Dato’ Seri Anwar kepada Presiden Singapura Halimah Yacob.

Manakala pada petang Isnin, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dijangka turut bersama barisan pemimpin Malaysia yang lain untuk menemui diaspora Malaysia di negara republik itu dalam jamuan minum petang bertempat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan media semalam memberitahu, Dato’ Seri Anwar melawat ke republik itu atas jemputan Lee Hsien Loong.

Antara yang menyertai delegasi tersebut ialah Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Luar Negeri Datuk Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan pegawai-pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

Premier Sarawak akan kembali ke Bintulu lewat petang Isnin di mana beliau akan menyempurnakan Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-10 Pelabuhan Perindustrian Samalaju. -Edisi UKAS

add comment