Pusat Dialisis PBSM Permyjaya Dijangka Beroperasi Sepenuhnya Mac 2023

ISNIN, 30 JANUARI 2023

MIRI: Pusat Dialisis Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Permyjaya yang baharu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mac 2023.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pusat tersebut telah mendapatkan lesen operasi setelah memenuhi ketetapan pemeriksaan akhir dan mendapat kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta dari Kementerian Kesihatan Malaysia pada bulan ini.

“Persiapan terakhir kini sedang dilakukan di pusat ini termasuk pemindahan sumber manusia, senarai pesakit dan juga kelengkapan fasiliti.

“Apabila dibuka nanti, ia akan menyediakan kira-kira 40 mesin dialisis yang mampu menampung kapasiti seramai 240 pesakit dari sekitar kawasan utara bandaraya ini iaitu Kuala Baram, Senadin, Tudan, Permyjaya dan Pujut.

“Ia sekaligus mengurangkan beban yang dipikul pusat sedia ada di Miri yang kini mempunyai lebih 340 pesakit,” katanya ketika ditemui selepas satu majlis penyerahan sumbangan mesin hemodialisis di Pusat Dialisis PBSM Permyjaya di sini pada Isnin.

Empat mesin hemodialisis bernilai RM186,899 itu disumbangkan oleh Sidney Lau & Co.

Dalam pada itu, beliau yang juga Penasihat PBSM Cawangan Miri merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang memberikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun mesin untuk menyokong pengoperasian pusat berkenaan.

Dato Sri Lee turut berkata, semua kelengkapan mesin peralatan di situ yang didapati dari negara Jerman kini siap dipasang dan sedia digunakan.

Hadir sama, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong, Pengurus Besar Sidney Lau & Co Sidney Lau Ka Tee, Pengurus PBSM Cawangan Miri Jong Jing Kwong, Setiausaha PBSM Cawangan Miri Tan Lay Yen dan Kapitan Ngieng Hock Diing. -Edisi UKAS

add comment