SELASA, 31 JANUARI 2023
SELANGAU: Pengoperasian Balai Bomba dan Penyelamat Selangau mampu memberi manfaat besar dan impak yang positif kepada 30,000 penduduk Selangau.
Menurut Ketua Pengarah JPBM Dato Sri Ts. Mohammad Hamdan Wahid, dengan adanya balai baharu ini pastinya memberikan kelegaan kepada penduduk di situ di mana pada sebelum ini penduduk setempat perlu bergantung dan menunggu pasukan penyelamat daripada Balai Bomba Penyelamat (BBP) Sibu atau BBP Mukah untuk mendapatkan bantuan.
Jelasnya, dengan keadaan Daerah Selangau yang kian membangun dengan pesat di dalam sektor industri dan ekonomi terutamanya dalam industri kelapa sawit, keperluan Balai Bomba dan Penyelamat sudah tentu amat diperlukan.
Katanya, ia ditambah dengan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Jajaran Selangau pada November lalu yang turut merancakkan lagi pergerakan kenderaan di kawasan tersebut.
“Walaupun statistik panggilan kecemasan di JPBM Daerah Selangau masih rendah namun pengurangan litupan hutan dengan taburan hujan tahunan yang tinggi bakal meningkatkan risiko berlakunya bencana banjir.
“Justeru, dengan adanya balai bomba baharu itu, kita akan sentiasa bersiap siaga untuk memberikan khidmat kebombaan dan penyelamatan yang terbaik seiring dengan peningkatan risiko itu,” katanya.
Ujarnya pada tahun ini, sebuah lagi balai bomba akan siap dan bakal beroperasi iaitu di Asajaya dan pihaknya kini dalam proses membuat permohonan semula peruntukan dalam Rolling Plan Keempat, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi projek-projek pembangunan infratruktur kebombaan di Sarawak.
Dalam hal ini, beliau amat berharap agar permohonan tersebut diluluskan oleh kerajaaan bagi memastikan projek itu dapat diteruskan utnuk meningkatkan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kebombaan di Sarawak.
Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Datu Khirudin Drahman@Hussaini, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Dato Edwin Galan Teruki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christopher Gira @ Gira Sambang, Pegawai Daerah Selangau Enting Nyami serta pegawai-pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – EDISI UKAS