SELASA, 31 JANUARI 2023
LAWAS: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berserta rombongan yang turut disertai kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah mengadakan lawatan kerja untuk meninjau Projek Tebingan Sungai Kuala Lawas di Kampong Dato di sini pada Ahad.
Sepanjang lawatan itu, Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari telah memberi penerangan kepada seramai 40 kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang diketuai oleh Datuk Bandar Kuching Utara Datu Junaidi Reduan mengenai sejarah kampung di Kuala Lawas serta projek-projek sedang dalam perancangan dan pelaksanaan.
Sejurus selepas lawatan itu, Datuk Amar Awang Tengah meneruskan kunjungan rumah terbuka Tahun Baharu Cina di kediaman Kaunselor Yong Kah Sing di bandar Lawas.
Dalam kunjungan tersebut, beliau disambut mesra oleh Kaunselor Yong di mana para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah makanan dan minuman.
Timbalan Premier Sarawak itu kemudiannya meneruskan kunjungan rumah terbuka ke kediaman Penghulu Liaw Soon Teck di Trusan, Lawas.
Antara turut serta, Ahli Parlimen Lawas Dato’ Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidillah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS