SELASA, 31 JANUARI 2023
KUCHING: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) dicadangkan untuk menjalinkan kerjasama dengan universiti di Sarawak bagi melahirkan juruteknik yang boleh membantu dalam industri Kenderaan Elektrik
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan elektrik adalah berlainan dengan kenderaan biasa.
“Sekiranya ada kenderaan elektrik ini, penyelenggaraan dan pembaikannya adalah berlainan dengan kenderaan biasa.
“Kita memerlukan juruteknik yang boleh membaiki sekiranya ada kerosakan. Ini menjadi satu bidang latihan yang harus PEKEMA boleh bantu menerusi mungkin berkerjasama dengan universiti kita dalam melahirkan juruteknik yang boleh membantu dalam usaha-usaha elektrik motor ini,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian “EV Adoption Event” dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Energy di Pustaka Negeri Sarawak di sini pada Selasa.
Selain itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mencadangkan agar kajian untuk mengitar semula bateri litium-ion dilakukan.
Beliau berkata, seluruh syarikat kereta ketika ini sedang membuat kajian bagaimana hendak mengitar semula bateri supaya bahan yang tidak mesra kepada alam sekitar iaitu litium ion tidak merebak dan tidak menjadi bahan buangan yang boleh mengancam alam sekitar.
“PEKEMA boleh berunding kerana bateri ini mempunyai kitaran lima tahun. Kajian boleh dilakukan unutk mengenalpasti sama ada ia boleh diperbaharui sampai 10 tahun serta bagaimana hendak membuang buang bateri kerana bateri mempunyai lithium iaitu satu bahan yang tidak mesra kepada alam sekitar,”ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memuji usaha sama PEKEMA dan SEDC Energy yang berada di landasan yang betul untuk membangunkan ekonomi Sarawak yang berteraskan kepada ekonomi baharu sejajar dengan dasar Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 .
Hadir sama dalam majlis perasmian itu ialah Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Presiden PEKEMA Dato Ismail Abang Saufi, dan Pemangku Presiden Jawatankuasa Pusat PEKEMA Datuk Muhammad Nazari Noordin.-Edisi UKAS