Kaji Penubuhan SWA Sebagai Badan Korporat Di Sarawak

SELASA, 31 JANUARI 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sedang giat menjalankan kajian untuk menubuhkan sebuah badan korporat di Sarawak yang berfungsi sebagai State Water Authority (SWA).

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, beliau percaya dengan penubuhan badan korporat tersebut dapat memperkasakan sistem pembekalan air di Sarawak.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Kuala Lumpur pada Selasa.

Lawatan beliau bersama delegasi daripada Sarawak itu telah disambut oleh Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Dalam lawatan tersebut, delegasi daripada Sarawak telah diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Dato’ Ahmad Faizal mengenai aspek-aspek penting pengawalseliaan industri perkhidmatan bekalan air dan pembentungan.

Sementara itu, Dato’ Sri Huang dalam ucapan beliau mengalu-alu kan lawatan sedemikian untuk merapatkan jurang informasi terutamanya dari segi teknikal berkenaan pengawalseliaan utiliti di antara Persekutuan dan Negeri serta mewujudkan peluang kolaborasi.

Katanya, kunjungan ini turut memberi peluang untuk berinteraksi dengan kerajaan Sarawak untuk mengetahui lebih jelas industri perkhidmatan air di negara ini khususnya di Sarawak.

“Kunjungan ini turut memberi peluang kepada kami semua untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dari Sarawak agar dapat mengetahui dengan lebih jelas lagi industri perkhidmatan air di negara ini khususnya di negeri Sarawak, untuk kita sama-sama melestarikan sumber air negara dan alam sekitar kita,”ujar beliau.-EDISI UKAS

add comment