KMKK Perlu Jadi Teladan Kepada Masyarakat

SELASA, 31 JANUARI 2023

MIRI: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Miri diingatkan untuk menjadi teladan baik kepada masyarakat dan bersama memainkan peranan dalam menjaga nama baik Sarawak yang terkenal dengan hidup aman damai meskipun berbeza latar belakang agama dan budaya.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, KMKK yang terpilih merupakan individu yang boleh dipercayai mampu menjadi penggerak serta ejen pendamai dan pembangunan setempat.

“Pemilihan ketua masyarakat yang berwibawa perlu melalui kriteria penting selain amanah dan bertanggungjawab.

“Realitinya memilih pemimpin peringkat akar umbi tidak boleh dibuat sebarangan kerana kesannya amat besar.

“Pada masa yang sama, mereka perlu adil dan saksama dalam menjalankan amanah bagi membela nasib orang bawahan,” ujarnya dalam Majlis Makan Mesra Perayaan Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Ketua Kaum Masyarakat Cina Miri di Dewan Serba Guna Kompleks Islam Sarawak di sini pada Isnin.

Dalam erti kata lain katanya, ketua masyarakat sebagai individu yang paling dipercayai perlu menjaga kepentingan penduduk di bawah jagaan mereka dan sewajarnya dihormati oleh orang bawahannya itu.

Justeru, ujar beliau, semua KMKK diingatkan agar sentiasa peka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kerana mereka membawa peranan penting dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit, Pengerusi Pengelola Majlis Temenggung Yong Vui Seng, Pegawai Daerah Miri Siti Rohanie Yusuf, serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Bahagian Miri.-Edisi UKAS

add comment