Tindakan Tegas Terhadap Kontraktor Kurang Berprestasi

SELASA, 31 JANUARI 2023

SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak harus sedia bertindak tegas terhadap kontraktor yang tidak mencapai tahap prestasi yang memuaskan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, jabatan tersebut harus mula bertindak apabila sebarang kerja pembinaan didapati tertangguh selama 60 hari.  

Beliau menaruh perasaan dukacita atas projek-projek yang sepatutnya bertujuan untuk kepentingan rakyat tetapi masih mengalami kelewatan atau tertangguh secara kritikal.

“Ini bermakna, JKR harus memantau prestasi pihak kontraktor dengan lebih teliti. Kami khuatir jika tiada tindakan diambil, maka keadaan akan menjadi lebih teruk dan akhirnya menjadi projek sakit.

“Pada masa dulu, saya juga pernah menyatakan bahawa JKR boleh menamatkan kontrak mereka yang gagal memulakan kerja dalam tempoh sebulan selepas penyerahan tapak,” katanya ketika melawat ke pejabat JKR Bahagian Sibu di sini pada Selasa.

Difahamkan, terdapat 340 projek dikategorikan sebagai projek sakit di seluruh negeri dengan 36 daripadanya tertangguh secara kritikal.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menjelaskan, situasi tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh wabak COVID-19 yang menular sejak Mac 2020.

Namun katanya, terdapat juga kontraktor yang menghadapi masalah tenaga kerja, kewangan atau bahan binaan selain isu subkontraktor yang tidak mencapai prestasi yang bagus.

“Keadaan pandemik COVID-19 kini bertambah baik. Kami mahu semua kontraktor yang dianugerahkan mana-mana projek untuk melaksanakannya mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan,” tambahnya.

Datuk Amar Douglas Uggah menegaskan, JKR Sarawak dijangka akan mengendalikan lebih banyak projek memandangkan Sarawak telah diberi autonomi untuk melaksanakan projek persekutuan RM50 juta kebawah tanpa perlu merujuk kepada Putrajaya.

“Atas sebab itu, aspek kecekapan dan produktiviti tinggi adalah sangat penting sekarang. Pengarah JKR Sarawak Ir. Richard Tajan juga mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu iaitu sifar (0) projek sakit,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Jurutera Bahagian Sibu Ir. John Wong Toh Koo ketika memberikan taklimat berkata, pejabatnya kini bertanggungjawab ke atas lapan projek iaitu tiga sekolah daif, sebuah stesen pertanian dan empat projek jalan raya.

“Setakat kini, kerja-kerja sedang dijalankan dan ia dijangka siap mengikut jadual,” katanya. -Edisi UKAS

add comment