Langkah Awal Mantapkan Industri Minyak & Gas

RABU, 1 FEBRUARI 2023

MIRI: Sarawak telah mengorak langkah awal untuk memantapkan industri minyak dan gas dengan penglibatan PETROS secara lebih meluas.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat berkata, inisiatif ini adalah usahasama bersama PETRONAS dengan menggiatkan semula aktiviti Eksplorasi dan Pengeluaran (E&P) di Sarawak bagi meningkatkan penglibatan vendor dan kontraktor minyak dan gas di Sarawak.

“Pembangunan industri hiliran merupakan satu komponen penting dalam usaha mempelbagaikan hasil pendapatan negara daripada industri minyak dan gas.

“Sarawak juga telah memeterai Perjanjian Penyelesaian Komersial dengan PETRONAS dengan memberikan pendapatan tambahan yang lebih banyak daripada hasil minyak dan gas yang ditemui di wilayah kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP 2023) di Miri baru-baru ini.

Katanya, beliau amat yakin bahawa program seumpamanya akan mampu membuka minda dan memberi idea baharu dalam mengambil peluang perniagaan khususnya dalam industri hiliran dan huluan minyak dan gas di negeri Sarawak ini.

Dalam pada itu, Dr Ripin berharap agar gerakan koperasi terus menjadi penggerak pembangunan komuniti setempat, seterusnya menjadi nadi kemajuan ekonomi negara.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Modal Insan) Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Mohd Zaib Mat Yunus. – EDISI UKAS

add comment