KHAMIS, 2 FEBRUARI 2023
SERIAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr. Simon Sinang Bada mengadakan program walkabout untuk meninjau beberapa kawasan dan pelaksanaan projek pada Rabu.
Beliau memulakan tinjauannya bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian di Kampung Lanchang Sijo yang bakal mendapat jambatan baru merentas Sungai Kuhas ke kawasan pertanian.
Menurut beliau, jambatan baru itu akan dibina menggunakan peruntukkan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 dan meminta pihak JKR menyediakan kertas kerja yang lengkap sebelum peruntukkan dapat disalurkan.
Dr Simon juga mengambil maklum bahawa pembinaan jambatan tersebut penting kepada penduduk kampung kerana ia membolehkan mereka menerokai tanah baharu dan membina rumah pada masa akan datang.
Selepas itu, ADUN Tebedu bersama rombongan mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan (SK) Parun Suan dan Kampung Plaman Nyabet.
Dalam pada itu, beliau meninjau kawasan sekolah yang memerlukan kerja pembaikan longkang dan menjanjikan pembinaan longkang konkrit yang baharu.
Beliau meneruskan lawatannya ke Kampung Plaman Nyabet untuk memeriksa jambatan konkrit merentas Sungai Bisong yang disiapkan pada 26 Februari 2022 dan menelan kos sebanyak RM350,000.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Serian, Cr. Asem Linkin dan Ketua Kaum Kampung Lanchang Sijo, Vincent Licho. -EDISI UKAS