Lukanisman Adakan Lawatan Kerja Rasmi Ke Pejabat Kesihatan Bahagian Miri

KHAMIS, 2 FEBRUARI 2023

MIRI: Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Kesihatan Bahagian Miri pada Rabu.

Tujuan lawatan kerja tersebut adalah untuk mendapat maklumat lanjut mengenai status perkhidmatan kesihatan yang disediakan di bahagian Miri amnya serta daerah-daerah Miri, Subis, Beluru, Marudi dan Telang Usan khususnya.

Dalam pada itu, ketibaan beliau telah disambut oleh Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr P. Raviwharmman Packierisamy, Pegawai Pergigian Bahagian Miri Dr Franklin Richard Seling, Pegawai Farmasi Bahagian Miri Eileen Yii Sze Shin serta ketua-ketua sektor dan ketua-ketua perkhidmatan dari pejabat tersebut.

Setelah selesainya sesi menandatangani buku pelawat, Lukanisman menghadiri sesi pembentangan oleh pegawai-pegawai berkaitan di mana beliau diberi taklimat berkaitan situasi terkini Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Primer, Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Pergigian Primer, dan Perkhidmatan Kesihatan Farmasi. 

Timbalan Menteri Kesihatan itu kemudiannya menyampaikan amanat kepada anggota kesihatan yang hadir dalam sesi pembentangan itu sebelum mengakhiri lawatan kerjanya dengan sesi bergambar.

Turut hadir,  Pegawai Pendidikan Kesihatan Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Matteus Aloysius, Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr Wong Khung Ying dan Pegawai Kesihatan Keluarga Pejabat Kesihatan Bahagian Miri Dr Noor Izni Mohamed Shapie. -Edisi UKAS

add comment